Profil Korporat

Kenali Yayasan Ummah Prihatin Pahang (YUPP)

Yayasan Ummah Prihatin Pahang (YUPP) didaftarkan di bawah Pejabat Pendaftar Pertubuhan Negeri Pahang dengan No. Pendaftaran: PPM-013-06-10102014 pada 10 Oktober 2014. Pengasas dan Pengerusi kepada YUPP ialah Kapt Dr. Shamsudin Bin Moner (B). YUPP adalah pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) bertaraf peringkat negeri.

Alhamdulillah, YUPP telahpun menjadi rakan strategik dalam melaksanakan kerja-kerja kebajikan dan dakwah dengan Masjid Sultan Haji Ahmad Shah (MSHAS) UIAM Kampus Kuantan dan telah diberi penghormatan oleh Masjid SHAS UIAM Kuantan untuk beroperasi dan beribu pejabat di masjid ini.

PERANAN DAN FUNGSI YUPP

YUPP adalah satu wadah kepada kita semua yang sedia untuk menghulurkan tenaga, pemikiran dan masa secara sukarela dalam pengertian beribadah kepada Allah dalam menunaikan tanggungjawab kita sesama manusia (hablun minan-nas) , namun begitu YUPP ini ibarat satu bakul yang boleh dibawa ke pasar, yang menentukan jualan kita di pasar itu laku atau laris bukan bakul itu tetapi barangan yang kita muatkan di dalamnya. Tugas kami di YUPP hanyalah menyediakan bakul itu. Ibarat permit perniagaan dan papan iklan. Sekarang terserahlah kepada kita para sukarelawan dan juga pencinta kerja-kerja amal salih untuk menjual apa saja barang di pasar dengan menggunakan bakul itu sebagai wadah. Yang penting bukannya bakul ini tetapi apa yang kita jual dan pasarkan. Jika barang yang kita jual ini baik dan bermutu maka ramailah orang yang membelinya dan mendapat manfaat daripadaanya dengan syarat ianya diniatkan untuk keredhaan Allah.

Justeru, fungsi YUPP di dalam konteks masyarakat di negeri Pahang akan dipergiat dan diperluaskan bagi memudahkan urusan semua pihak dan meringankan beban bagi sesetengah kelompok masyarakat yang bergelut dengan keperitan kehidupan kini menerusi projek-projek amal prihatin ummah yang akan dilaksanakan oleh YUPP dari semasa ke semasa.

OBJEKTIF

  1. Menggerakkan aktiviti dakwah menerusi pendekatan kebajikan dan prihatin asnaf untuk menyantuni golongan yang kurang bernasib baik.
  2. Melakukan kerja-kerja amal dengan pendekatan kerjasama pintar dengan masjid-masjid terpilih di Negeri Pahang bagi mendekatkan masyarakat dengan instiusi masjid agar konsep prihatin dihayati menerusi institusi masjid.
  3. Melatih tenaga sukarelawan dakwah dan aktivis sosial untuk sentiasa prihatin dan peka terhadap masyarakat khususnya mereka yang memerlukan bantuan.

MISI

  1. Menyantuni anak yatim dan miskin melalui program pendidikan.
  2. Membantu kelompok asnaf dengan program pendidikan sepanjang hayat.
  3. Menyediakan ruang dan peluang untuk sukarelawan berbakti kepada masyarakat.