Perancangan Pembinaan Asrama Anak-Anak Yatim Asnaf

KOMPLEKS PUSAT TAHFIZ ini sebahagiannya akan dibangunkan juga Asrama Anak-Anak Yatim Asnaf yang boleh menempatkan seramai 80 hingga 100 orang anak-anak yatim. Asrama anak-anak yatim ini bukanlah seperti sebuah rumah perlindungan ataupun rumah penempatan untuk anak-anak yatim. Tetapi, ianya berkonsepkan sebuah asrama persekolahan bagi anak-anak yatim yang mana ibu atau bapa atau penjaga kepada anak-anak yatim ini tidak berkemampuan untuk menjaga dan menguruskan persekolahan harian mereka jika tinggal bersama keluarga mereka di rumah.

Asrama ini sama seperti sebuah asrama sekolah yang mana ibu, bapa atau penjaga dibenarkan mengambil anak-anak yatim ini untuk balik bercuti bersama mereka di rumah setiap cuti hujung minggu, dengan kadar kekerapan dua minggu sekali.

Penubuhan dan pembinaan asrama anak-anak yatim asnaf ini adalah sebagai salah satu tanggungjawab sosial bagi Yayasan Ummah Prihatin Pahang dan juga Pusat Tahfiz Teknikal YUPP Pahang untuk menyantuni golongan asnaf dalam kalangan anak-anak yatim. Di samping itu juga, para pelajar Pusat Tahfiz ini boleh dimanfaatkan tenaga mereka pada setiap hujung minggu untuk membimbing adik-adik yang menetap di asrama anak-anak yatim ini dalam perkara fardhu ain dan juga bacaan Al-Quran.

KELAYAKAN DAN SYARAT

Penghuni dan juga pelajar di asrama anak-anak yatim ini tidak hanya khusus kepada anak yang kematian salah seorang ibu atau bapa dan juga kepada anak yang kematian kedua-dua ibu-bapa sahaja. Pelajar ataupun anak yang mana kedua-dua ibu-bapanya masih hidup juga layak untuk di tempatkan di asrama ini, seperti anak yang telah ditinggalkan oleh bapanya tanpa khabar berita dan juga tanpa pemberian nafkah hidup dengan syarat penjaga mereka dikategorikan sebagai golongan asnaf. Termasuk juga bagi anak yang kedua-dua ibu bapanya yang masih hidup tetapi kehidupan anak ini terabai dan ditinggalkan oleh kedua ibu bapa mereka tanpa kebertanggungjawaban. Walaupun anak-anak ini tidak dikategorikan sebagai anak yatim ataupun yatim piatu dari segi takrifan literalnya, tetapi dari segi nasib mereka dan juga ketiadaan ibu bapa untuk mendapat kasih sayang juga adalah sama seperti nasib anak-anak yatim, bahkan ada kalanya mereka ini lebih melarat daripada anak-anak yatim yang kematian ibu atau bapa.

Umur pelajar dan anak yatim asnaf yang layak untuk ditempatkan di asrama ini adalah berumur di antara 10 tahun hingga 17 tahun sahaja.